KUCHING, 6 Jan: Sarawak terus mengorak langkah memperkukuh pemerkasaan wanita di peringkat serantau menerusi perbincangan strategik bersama Rangkaian Wanita Asia Selatan (South Asian Women’s Network, SWAN) di New Delhi, India, yang diketuai Dato Sri Fatimah Abdullah, hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, dalam satu kenyataan memaklumkan pertemuan tersebut merupakan langkah penting bagi memantapkan kerjasama strategik antara SWAN dan Persatuan Wanita India Sarawak (Sarawak Indian Women Association, SIWA) sebagai persediaan menjelang Perhimpunan Antarabangsa Wanita Asia Selatan 2026 (SIWA2026) yang dijadual berlangsung di Kuching dari 8 hingga 10 September 2026.
“Penganjuran SIWA2026 mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperjuangkan pemerkasaan wanita, kepimpinan inklusif serta kerjasama serantau yang berimpak tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, perhimpunan bertaraf antarabangsa itu yang bertemakan From the Himalayas to the Hornbills: The Global Ascent of South Asian Women Leaders akan menjadi platform berprofil tinggi menghimpunkan pembuat dasar, ahli akademik, pemimpin masyarakat sivil, profesional serta tokoh diaspora wanita dari seluruh Asia dan peringkat global.
Fatimah berkata, antara pengisian utama SIWA2026 ialah forum Hard Truths and Shared Triumphs from the Diaspora’s Trailblazers yang akan mengetengahkan perbincangan terbuka mengenai cabaran kepimpinan, daya tahan, identiti serta sumbangan rentas sempadan pemimpin wanita Asia Selatan.
“Forum ini memberi ruang kepada perkongsian pengalaman sebenar wanita pemimpin diaspora, sekali gus memperkukuh kefahaman dan solidariti dalam menghadapi cabaran global masa kini,” jelasnya.
Perhimpunan itu dijangka menghimpunkan kira-kira 110 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita berasaskan Sarawak, selain NGO India Sarawak dan Asia Selatan serta rakan komuniti menerusi rangkaian kerjasama SIWA.
Dalam sesi sama, Pengasas dan Pemegang Amanah SWAN, Profesor Dr Veena Sikri, turut menjemput Fatimah selaku Penaung SIWA untuk menyertai dialog dan sesi konsultasi yang diadakan di New Delhi.
Penyertaan tersebut dilihat penting bagi menyelaraskan aspek kerjasama awal, reka bentuk program, kerjasama teknikal serta hala tuju strategik SIWA2026.
“Sarawak bersedia memainkan peranan sebagai rakan yang progresif dan berwibawa dalam memacu dialog serantau, keterangkuman sosial dan pembangunan mampan, di samping memposisikan Kuching sebagai hab perbincangan antarabangsa berkaitan kepimpinan wanita,” tambahnya.
Usaha berkenaan sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak di persada antarabangsa sebagai peneraju dalam mempromosikan kepimpinan wanita serta kerjasama rentas budaya di rantau Asia Selatan dan seterusnya.
Delegasi Sarawak turut disertai SIWA yang diketuai Presidennya, Penghulu Lucy Linggam, manakala sesi libat urus diadakan bersama Profesor Dr Veena Sikri – TVS
Source: https://www.tvsarawak.my/2026/01/06/sarawak-perkukuh-pemerkasaan-wanita-serantau-bersama-swan/



